Oleh : Nooratini Haji Abas / Foto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azraie Pg. Haji Nikman
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 24 Mac. - Hari Raya Aidilfitri merupakan hari yang amat bermakna bagi umat Islam di Negara Brunei Darussalam. Ia bukan sahaja sebagai hari kemenangan kita setelah sebulan berpuasa, tetapi juga sebagai hari untuk memperatkan silaturahim dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini. Setiap menjelangnya hari raya, kita dapat melihat perkembangan dan perubahan tradisi dan sambutan hari raya dari zaman ke zaman. Ini termasuklah dari segi ekonomi, sambutan, kunjung-mengunjungi mahupun makanan hidangan.
Dalam kesempatan hari raya ini, Pelita Brunei berpeluang menemu bual salah seorang warga emas yang menetap di kawasan Daerah Brunei dan Muara. Dayang Hajah Sara binti Haji Metusin mengongsikan, sekitar tahun 60-an, sambutan hari raya diraikan dengan begitu meriah. Pada zaman tersebut, barang-barang raya dijual dengan harga yang sangat murah, berbanding zaman sekarang, pakaian, peralatan serta makanan dan minuman dijual dengan harga yang mahal. Dari segi hidangan, 'kepala meja' merupakan sejenis kuih yang dijadikan sebagai satu tradisi sambutan raya pada zaman dahulu selain kuih-kuih Brunei seperti kuih sapit dan bahulu. Namun kini, pelbagai hidangan masakan dan kuih-muih disediakan bagi menjamu tetamu yang bertandang. Antara yang popular umpamanya kek tapak kuda, kek lapis, kuih mor dan sebagainya. Masakan dihidang dalam bentuk 'catering' atau masak sendiri. Begitu juga kunjung-mengunjung, pada zaman dahulu, kanak-kanak beramai-ramai berkunjung dari satu rumah ke satu rumah, akan tetapi sekarang kanak-kanak berkunjung berhari raya bersama-sama keluarga masing-masing.
Walaupun sambutan dahulu tidak seramai zaman sekarang, tetapi ikatan kekeluargaan tetap utuh dan mencerminkan suasana meriah. Kesemua ini juga jelas memperlihatkan bahawa perubahan zaman dahulu dengan zaman sekarang adalah disebabkan pengaruh peredaran zaman. Walau demikian, sambutan hari raya pada zaman dahulu dan zaman sekarang masih lagi disambut dengan gembira dan penuh warna-warni.